Proses menggubal undang-undang Dewan_Rakyat_Malaysia

Sesebuah undang-undang yang ingin dicadangkan mestilah disediakan rangkanya terlebih dahulu - kebiasaannya oleh Jemaah Menteri atau sesebuah kementerian dengan dibantu oleh Jabatan Peguam Negara. Rangka tersebut yang dikenali sebaga rang undang-undang kemudiannya dikaji dan dibincang bersama-sama oleh Jemaah Menteri. Jika diputuskan untuk dicadangkan ke parlimen, rang itu kemudiannya akan diagih-agihkan kepada semua ahli-ahli dewan rakyat.

Rang ini akan melalui tiga bacaan dalam persidangan Dewan Rakyat.

  1. Bacaan pertama adalah untuk memperkenalkan rang undang-undang tersebut.
  2. Bacaan kedua untuk dibincang dan dibahas oleh ahli-ahli yang berhormat.
  3. Bacaan ketiga akan dicadangkan oleh menteri atau timbalannya untuk dibuat satu undian ke atas rang undang-undang ini.

Kebanyakan undang-undang hanya memerlukan sokongan majoriti mudah untuk diluluskan. Namun, dalam beberapa keadaan, majorit dua pertiga adalah diperlukan, seperti dalam hal-hal berkaitan meminda perlembagaan. Setelah diluluskan oleh Dewan Rakyat rang undang-undang itu kemudiannya dihantar ke Dewan Negara dan tiga bacaan yang diterangkan sebelum ini akan dilakukan sekali lagi. Dewan Negara boleh bertindak untuk tidak meluluskan satu-satu rang undang-undang. Walau bagaimanapun, langkah ini hanya melambat-lambatkan kelulusan dibuat selalunya selama sebulan dan kadang-kadang setahun. Setelah tempoh ini tamat, rang undang-undang in dianggap telah diluluskan oleh Dewan Negara.

Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur yang menempatkan Dewan Rakyat.

Jika diluluskan, rang undang-undang itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dipertimbangkan dalam tempoh 30 hari. Jika baginda tidak bersetuju, rang undang-undang itu akan dikembalikan ke parlimen bersama-sama dengan beberapa cadangan pindaan. Parlimen kemudiannya harus mengkaji semula rang undang-undang tersebut dan pindaanya dan mengembalikannya semula kepada Yang di-Pertuan Agong jika rang undang-undang itu diluluskan semula. Yang di-Pertuan Agong mempunyai 30 hari lagi untuk memberikan perkenan diraja. Setelah tempoh itu, rang undang-undang tersebut dianggap telah diluluskan sebagai undang-undang yang boleh berkuatkuasa. Undang-undang ini hanya akan berkuatkuasa setelah dimasyhurkan di dalam Warta Kerajaan.[13]

Kerajaan sering memelihara kerahsiaan sesebuah rang undang-undang yang akan dibahaskan. Ahli-ahli parlimen sering menerima salinan rang undang-undang beberapa hari sebelum dibahaskan dan akhbar-akhbar tempatan jarang menerima salinan tersebut. Dalam sesetengah kes, ahli-ahli dewan pernah diberikan salinan pada hari yang sama sesebuah rang undang-undang itu dibentang di parlimen. Contoh terbaik adalah sewaktu Pindaan Perlembagaan 1968 yang dilakukan tiga bacaan pada hari yang sama. Dalam kes yang agak jarang berlaku, kerajaan pernah mengeluarkan satu Kertas Putih yang mengandungi cadangan-cadangan kerajaan yang akhirnya diluluskan sebagai undang-undang. Kes ini merujuk kepada penggubalan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Rang Undang-undang Persendirian

Proses sebelum ini hanya menerangkan langkah-langkah sesebuah undang-undang itu dibawa oleh pihak kerajaan. Namun begitu, wujud satu lagi proses yang dipanggil Rang Undang-undang Persendirian yang memberi peluang kepada ahli-ahli dewan mencadangkan undang-undang baru untuk dibahas di parlimen. Walaupunbegitu, sebagaimana yang sering menjadi amalan di dalam sistem parlimen ala Westminster, hanya sedikit bilangan ahli parlimen yang pernah memperkenalkan rang undang-undang. Proses ini dimulakan dengan ahli yang terbabit memohon dewan untuk berhenti daripada meneruskan persidangan bagi membahaskan rang undang-undang yang ingin dibawanya sebelum diputuskan dalam undian. Senator dari Dewan Negara juga dibenarkan untuk mencadangkan rang undang-undang di parlimen. Tetapi hanya wakil kerajaan sahaja dibenarkan mencadangkan rang undang-undang berkaitan hal-ehwal kewangan dan ini perlu dilakukan di Dewan Rakyat terlebih dahulu.[14]

Seringkali sesebuah rang undang-undang yang dicadangkan oleh wakil pembangkang, yang harus menggunakan Rang undang-undang Persendirian, sering dipandang remeh oleh parlimen. Sesetengahnya sampai pernah mendakwa bahawa hak-hak ahli parlimen untuk mencadangkan rang undang-undang telah dihalang melalui pindaan terhadap Aturan Urusan Mesyuarat yang membenarkan Yang di-Pertua dewan meminda cetakan ucapan ahli parlimen sebelum ianya dapat diucapkan.

Rujukan

WikiPedia: Dewan_Rakyat_Malaysia http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2008/3/... http://www.parlimen.gov.my/ http://www.parlimen.gov.my/dR-maklumatumum.htm http://www.parlimen.gov.my/jawatankuasa-dr.html?uw... http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/umum/25117-... http://spr.gov.my/index/bahagian19v.htm http://pru14.spr.gov.my/#!/home http://wikisource.org/wiki/Perlembagaan_Persekutua... http://wikisource.org/wiki/Perlembagaan_Persekutua... http://wikisource.org/wiki/Perlembagaan_Persekutua...